14 May 2009

Anwar cabar Najib adakan P'hanraya di Perak



Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemelut politik di Perak bukanlah isu perundangan yang boleh diselesaikan di mahkamah.

Sebaliknya, beliau yang juga ketua umum PKR berkata, ia hanya boleh diselesaikan melalui pilihanraya yang bebas dan adil.

"Penyelesaiannya bukan pada istana atau mahkamah, tetapi mahkamah rakyat yang akan menentukannya," katanya.

Sehubungan itu, Anwar mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengadakan pilihanraya baru di Perak bagi menyelesaikan kemelut politik sekarang.

Apabila beliau bertanya mengapa Najib perlu takut untuk mengadakan pilihanraya baru di Perak, kira-kira 3,000 hadirin yang memenuhi dewan tersebut melaung: "Najib salah". Najib dikaitkan dengan tindakan BN merampas kuasa di Perak dari Pakatan Rakyat.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh menegaskan demikian dalam satu forum di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

Tajuk forum tersebut bertajuk 13 Mei hingga 1 Malaysia: Masa depan pembinaan negara Malaysia, anjuran pejabat ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

'Saling bertukar MB'

Ahli panel lain ialah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur serta Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Ketibaan mereka menerima tepukan gemuruh para hadirin.

Kemelut politik antara BN dan Pakatan Rakyat semakin parah apabila jawatan menteri besar salih berganti disandang oleh wakil kedua belah pihak.

Sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu juga menyaksikan berlaku kekecohan dan pergaduhan antara kedua belah pihak, termasuk insiden Speaker V Sivakumar diseret keluar DUN.

Sebelum ini, BN mengambil alih pentadbiran negeri Perak selepas mendapat sokongan majoriti apabila tiga ADUN Pakatan keluar parti dan menyokong BN.

Ekoran itu, Nizar Jamaluddin membawa kes itu ke mahkamah dan kelmarin Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan beliau sebagai menteri besar Perak yang sah.

Berikutan keputusan tersebut, Menteri Besar BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan exconya mengosong pejabat dan Nizar kembali bertugas.

Bagaimanapun, Zambry berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menangguhkan penghakiman mahkamah tinggi itu dan kembali bertugas semula semalam.

Mengulas lanjut mengenai kemelut di Perak itu, Anwar menyifatkan Nizar sebagai "bendahara Tun Perak yang baru".

Mengenai 13 Mei pula, Anwar yang berucap selama 15 minit berkata, selepas peristiwa tersebut, pelbagai slogan perpaduan dilaungkan - termasuk Islam Hadhari dan 1Malaysia - tetapi menurutnya tidak ada sebarang perubahan dasar. -Malaysiakini