21 November 2011

Peluang terbaik



KAPTEN skuad bawah 23 tahun negara, Baddrol Bakhtiar menuntut rakan sepasukan supaya berjuang habis-habisan bagi memastikan pingat emas terus dipertahankan buat kali kedua berturut-turut sekali gus menyamai pencapaian 1977 dan 1979.

Katanya, ini adalah peluang terbaik mereka mencipta sejarah itu biarpun bakal berdepan laluan penuh getir menentang tuan rumah Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.


“Saya menjangkakan pertemuan kedua ini lebih sengit meskipun kita berjaya menewaskan mereka 1-0 pada peringkat kumpulan.

“Kemenangan itu memberikan sedikit kelebihan kepada skuad negara dari segi moral namun kami harus berhati-hati dan tidak mengambil mudah perlawanan final esok (hari ini).


“Walaupun ada pemain negara yang mengalami kecederaan tapi kami tetap bersemangat kerana pemain gantian juga mampu beraksi dengan baik,” katanya yang menjadi penjaring terbanyak Malaysia dengan tiga gol setakat ini.


Malaysia juara lima kali bakal tampil di final ke-11 sejak temasya ini diadakan pada 1959.

Pencapaian terbaik skuad negara di temasya ini apabila muncul juara dua kali berturut-turut pada 1977 di Kuala Lumpur dengan menewaskan Thailand 2-0 sebelum menumpaskan Indonesia 1-0 di Stadium Gelora Bung Karno.


Dua tahun lalu di Laos, skuad bimbingan Datuk K Rajagobal meraih emas dengan menewaskan Vietnam 1-0 di final.