01 July 2010

Cahaya Lebih Baik, Mata Lebih Sihat



PETALING JAYA, 1 Julai (Bernama) -- Dalam bilik darjah di sekolah, adalah satu kebiasaan bagi pelajar terpaksa 'menyepetkan' mata mereka bagi melihat dengan lebih terang apa yang ditulis guru di atas papan hitam.

Kini, mereka masih terpaksa melakukan perkara yang sama walaupun papan hitam di kebanyakan sekolah sudah bertukar menjadi 'putih dan berkilau'. Cahaya dari tingkap dan pintu kaca menambahkan lagi silauan itu.

Lantaran itu, apakah langkah yang dibuat pihak sekolah bagi memastikan cahaya yang sesuai bagi keselesaan bagi murid dan guru dalam bilik darjah.

Bajet yang agak ketat serta kos elektrik dan belanja penyelenggaraan tinggi memberi tekanan kepada sekolah. Inilah masanya badan swasta patut membantu melalui program-program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

EFISYEN TENAGA

Baru-baru ini Philips Malaysia Sdn Bhd telah memilih tiga sekolah bagi program yang mana lampu di tiga bilik darjah di setiap sekolah diganti.

Dalam program tersebut, mentol serta lampu berkonsep efisyen tenaga telah dipasang di bilik darjah tahun 4, 5 dan 6 bagi memberi lebih cahaya terang dalam bilik darjah.

Pelajar juga menerima pendedahan semasa sesi pembelajaran dalam kumpulan kecil yang dikendalikan petugas Philip Malaysia. Mereka diajar dalam aspek tabiat kehidupan yang baik serta perkara yang berhubung kebersihan diri serta efisyen tenaga.

Tiga sekolah yang dipilih adalah SRK Assunta, SK Sri Petaling (di Petaling Jaya) dan SK Kampung Tunku.

Menurut Guru Besar SRK Assunta (1) Nor'Adza Ismail, guru dan pelajar dapat menyesuaikan diri mereka dengan suasana cahaya yang baru itu dengan baik sekali.

Menurut Nor'Adza, lampu jenis efisyen tenaga yang dipasang tidak berkelip walaupun semasa ribut petir.

"Saya tanya pelajar tentang lampu baru itu. Ada yang berkata ianya agak malap dan ada juga yang menyatakan ianya baik dan sesuai serta 'lembut' bagi mata.

"Yang bagusnya adalah sesi pembelajaran dalam kumpulan kecil. Sesi tersebut memberikan pengalaman baru buat pelajar samada di sekolah atau rumah," Nor'Adza memberitahu Bernama di sekolah tersebut baru-baru ini.

PERUBAHAN TABIAT

Menurut Guru Besar SK Kampung Tunku, Ainon Abdullah, semenjak lampu-lampu baru itu dipasang terdapat perubahan bagi murid-murid beliau.

Walaupun ianya masih terlampau awal untuk membuat kesimpulan, beliau mendapati murid-muridnya sudah kurang resah dan dapat fokus terhadap apa yang diajar di bilik darjah.

Pelajar dan guru telah memberitahu saya lampu yang baru dipasang adalah kurang 'silau'. Itulah sesuatu yang baik sekurang-kurangnya penglihatan mereka tidak terganggu.

"Setelah tujuh tahun di sekolah ini, bagi saya program menukar lampu adalah satu perkara yang diperlukan. Mungkin lebih banyak bilik darjah dapat diberi kemudahan ini," kata Ainon.

Anum Zakiah Gam, Guru Besar SK Sri Petaling, murid-murid di kelas petang lebih banyak mencatat keputusan 'A' selepas mentol-mentol efisyen tenaga itu dipasang.

"Dibandingkan dengan pelajar sesi pagi yang mendapati lampu-lampu tersebut adalah terlampau terang oleh kerana bilik darjah mereka sememangnya sudah terang kerana disinari cahaya matahari waktu pagi".

SUBSIDI KOS

Bagaimana jika sekolah-sekolah yang dipilih ingin menukar lampu di semua bilik darjah kepada jenis yang efisyen tenaga?

Adakah Philips Malaysia mahu memberi subsidi pada kos?

Bila diajukan soalan ini, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksikutifnya Lee Weng Seong mengulas: "Sudah tentu kita boleh dan akan mengambilkira mengurangkan kos untuk tiga sekolah itu.

"Lampu-lampu (efisyen tenaga) ini adalah dari teknologi baru. Ianya menggunakan lampu kalimantang yang mempunyai 'ballast' elektronik dan akan menyala terus sebaik sahaja suis lampu ditekan dan tidak berkelip dulu (seperti lampu yang sebelumnya).

"Oleh itu haba yang dikeluarkan adalah lebih rendah".

Menurut Lee tiga sekolah di Pulau Pinang juga akan mendapat kemudahan seperti ini tidak lama lagi.

TENAGA MAMPAN

Kata Lee syarikat tersebut telah meletakkan pembangunan mampan sebagai polisi utamanya dalam membantu perkembangan ekonomi di negara-negara membangun.

"Ini membantu dalam perlindungan alam sekitar. Kempen SimplyHealthy@Schools adalah kesinambungan visi kami.

"Kempen ini bertujuan membina kota-kota mampan di Asia dengan menggalakkan penggunaan lampu-lampu efisyen tenaga bagi memastikan penggunaan efektif dalam era urbanisasi," terang Lee.

Sistem 'ballast' Philips yang baru mengeluarkan tenaga sehingga 262.8KWh atau RM99.90 setahun dari segi kos. Lampu-lampu ini lebih 'bertenaga' dan terang sebanyak 30 peratus jika dibandingkan dengan lampu yang menggunakan sistem magnetik.

KELEBIHAN

Bagi tiga sekolah di Lembah Klang yang dipasang lampu baru, ketiga-tiganya dapat mengurangkan kos operasi dari segi belanja peralatan elektrik selain daripada mempunyai lampu yang lebih panjang usia dan terang selain dari merendahkan suhu operasi.

"Kempen ini telah dilancarkan dengan jayanya di negara-negara seperti Thailand, India, Russia, United Kingdom, Ireland, China, Taiwan, Hong Kong dan Belanda.

"Kami adalah sangat positif tentang teknologi baru ini yang dapat menjimatkan kos dan mengurangkan pengeluaran karbon di seluruh dunia sebanyak 50 juta tan bagi satu bulan".

Menurut Lee ini adalah bersamaan 130 juta tong minyak sebulan.

Mengurangkan pengeluaran karbon sudah tentunya satu daripada kaedah mampan bagi memelihara alam sekitar.

Lantas, keperluan bagi pengetahuan serta kesedaran yang lebih besar terhadap tenaga efisyen dan sumber-sumber tenaga alternatif adalah lebih diperlukan berbanding masa lampau.

-- BERNAMA