11 August 2009

Makin popular tolak ISA dimansuh.



kemaskini 3.17pm
Desakan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semakin jauh merosot dalam undian di laman web berita Keselamatan Dalam Negeri (KDN) - tinggal lagi 56 peratus daripada 92 peratus sejak minggu lalu.

Jumlah respons bagi soalan "Apa yang anda mahu dari ISA?" bagaimanapun meningkat mendadak kepada 23,106 daripada 522 respons dalam semakan awal Malaysiakini, Khamis lalu.


Sebanyak 481 respons atau 92 peratus mahu akta kontroversi itu dihapuskan minggu lalu, hampir 24 jam selepas undian itu dimuat naik di portal berita rasmi kementerian berkenaan.

Hari ini tinggal 56 peratus atau 13,002 respons mahu ia dimansuhkan, selebihnya ingin ia disemak seperti janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sementara tanggapan pengunjung gerbang berita rasmi KDN juga berubah, setakat semakan jam 3.10 petang ini - 50 peratus atau 12,210 daripada 24,418 respons menyifatkan akta itu "zalim".

Minggu lalu, 597 respons atau 88 peratus menganggapnya sedemikian.

Menjawab isu tahap pengetahuan pengunjung berhubung akta tersebut, 94 peratus daripada 12,974 respons memilih "faham"

Kira-kira 94 peratus daripada 12,616 respons pula menjawab soalan keempat dengan menyatakan mereka mendapat maklumat tentang isu tersebut daripada bahan bacaan.

Bagi soalan terakhir, 57 peratus daripada 12,636 respons "mengetahui" Amerika Syarikat dan Britain mempunyai akta menentang keganasan masing-masing yang "dirujuk daripada pelaksanaan ISA di Malaysia".

Sementara 40 peratus lagi, atau 5,067 respons, menyifatkan soalan itu "tidak memberi apa-apa makna" kepada mereka.

SUMBER MALAYSIA KINI.