30 June 2011

Risalah palsu BERSIH 2.0 pula disebarkan!




CUBAAN untuk memburukkan perhimpunan aman BERSIH 2.0 "walk for democracy" yang menuntut pilihanraya yang bersih dan adil, telah dimulakan. Risalah palsu menggunakan nama BERSIH 2.0 yang mengajak orang ramai menumbangkan kerajaan telah mula diedarkan kepada orang ramai.

Antara mesej yang tertera pada risalah tersebut termasuklah "PERHIMPUNAN Bersih2.0", "BERSAMA KITA TUMBANGKAN KERAJAAN SEKARANG!!!", dan "BUKTIKAN KITA MAMPU SEPERTI LIBYA !!"

Dilaporkan bahawa risalah kuning itu dilekatkan pada kenderaan di tempat letak kereta Seksyen 2 Wangsa Maju, pagi ini [MerdekaReview].

Kalau dilihat, rakyat sudah sedia maklum bahawa perhimpunan aman BERSIH 2.0 akan diadakan pada 9 Julai 2011 ini untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Namun demi untuk mengharamkan suara rakyat, ada pihak dilihat cuba memburukkan imej BERSIH 2.0.

Siapakah dalang di sebalik penyebaran risalah palsu ini? Mudah sahaja untuk disiasat, tentu sekali golongan yang tidak mahu perhimpunan aman BERSIH 2.0 diteruskan.

Timbalan speaker: Tiada salah MP berpakaian kuning




Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Wan Jaafar, hari ini memutuskan tidak ada salah bagi ahli parlimen pembangkang untuk berpakian kuning ke parlimen.

"Apa-apa keputusan yang dibuat oleh menteri, Kementerian Dalam Negeri atau polis tidak mengikat Dewan Rakyat. Jika kita benarkan, kita akan juga akan terikat dengan mana-mana sekatan oleh keputusan yang lain,” katanya.

Atas hujah itu, Wan Junaidi berkata tidak ada sekatan berpakaian akan dikenakan kepada ahli parlimen asalkan mereka tidak melanggar kod pakaian mengikut peraturan tetap dewan.

Beliau mengulas perkara itu yang dibawa oleh Datuk Tajuddin Abdul Rahman (bawah) (BN-Pasir Salak) yang bangkit pada perbahasan rang undang-undang gaji minumum dan meminta penjelasan.

"Saya lihat semua MP pembangkang berpakaian kuning hari ini. Adakah mereka menyokong perhimpunan haram?” soalnya.

Beberapa ahli parlimen Pakatan kemudiannya dengan segera bangkit dan mempertahankan pilihan cara berpakaian mereka.

Bertindak bagi mengelakkan keadaan yang btidak terkawal, timbalan speaker menolak perkara itu dan berkata dewan adalah bebas daripada peraturan luar.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pihak polis bukan sahaja mengisytiharkan perhimpunan 9 Julai itu adalah haramtetapi juga melarang penggunaan kemenja kuning dan apa-apa yang mempunyai logo BERSIH.

@Malaysia Kini

23 June 2011

Bersih 2.0: Hadiah lumayan gambar provokasi terbaik



KUALA LUMPUR, 23 Jun: Orang ramai di negara ini yang akan menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini berpeluang merebut hadiah lumayan yang disediakan oleh PAS, sekiranya berjaya merakamkan gambar-gambar insiden provokasi terbaik yang dilakukan oleh pihak tertentu pada himpunan itu.

Tawaran tersebut dibuat bagi memberikan semangat kepada setiap pihak yang ingin hadir pada himpunan itu agar tidak takut dengan ugutan pelbagai pihak yang berusaha menghalangnya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, berdasarkan pengalaman dalam himpunan-himpunan aman lalu, pihak berkenaan telah melakukan pelbagai tindakan provokasi bagi memburukkan PAS, penganjur dan para peserta.

Menurut beliau, tindakan tersebut mungkin akan turut dilakukan oleh pihak-pihak terbabit pada Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, malah mungkin akan lebih ketara lagi.

Katanya, bagi membolehkan tindakan tidak bertanggungjawab mereka itu diketahui umum dan diambil pengajaran oleh pihak-pihak terbabit, aksi-aksi mereka itu amat perlu dirakam untuk dijadikan tontonan semua pihak.

"Aksi-aksi yang dirakam itu pula tentunya pelbagai. Ada yang menarik, agak menarik, kurang menarik dan tidak menarik. Jadi untuk membolehkan kita mendapatkan rakaman insiden-insiden provokasi yang menarik, PAS akan menyediakan hadiah lumayan bagi mereka yang berjaya merakam gambar terbaik," katanya pada sidang akhbar bersama Harakah di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, katanya, tetap akan diadakan walaupun cuba dihalang oleh pihak-pihak tertentu dengan pelbagai cara kerana ia adalah himpunan yang diadakan oleh rakyat untuk tujuan yang murni.

"Ahli-ahli PAS dan orang ramai tidak perlu takut untuk menyertai himpunan itu kerana ia diadakan atas tujuan yang murni oleh Bersih. Walaupun begitu, jangan sekali-kali membawa senjata.

"Himpunan itu adalah himpunan aman. Jika membawa senjata dibimbangi akan mencetuskan kejadian tidak diingini pula. Tujuan himpunan itu diadakan amat jelas, iaitu untuk mendesak kerajaan mengadakan pilihanraya yang bersih dan adil di negara kita dan desakan itu mestilah didengar oleh kerajaan," tegasnya.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak mengenai himpunan itu yang antara lain dikatakan akan mencemarkan imej negara di mata pelancong, beliau berkata, dakwaan tersebut datangnya dari mereka yang tidak faham tentang demokrasi.

Dalam negara demokrasi, katanya, rakyatnya tidak dihalang dari mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak kerajaan melakukan perubahan, apatah lagi setelah sistem pilihanraya di negara kita terbukti tempang sejak sekian lama.

"Sesuai dengan perhimpunan aman yang diadakan, ia tidak akan mendatangkan sebarang kesan negatif terhadap negara jika diadakan, malah ia akan menimbulkan penghormatan rakyat asing itu sendiri terhadap negara kita apabila mereka dapat melihat dengan jelas sikap rakyatnya yang sentiasa menjaga keamanan termasuk ketika berdemonstrasi.

"Manakala pelancong pula bukan hanya terdiri daripada warga asing. Malah rakyat di negara ini yang berkunjung ke sesuatu destinasi itu juga adalah pelancong," jelasnya.

Dakwaan seperti itu, katanya, adalah sebahagian dari usaha menghalang himpunan tersebut diadakan, tetapi Bersih dan rakyat negara ini sudah tidak akan berganjak dari keputusan untuk mengadakan dan menyertai perhimpunan itu, akibat sudah tidak tertahan dengan tindakan buruk yang dilakukan oleh kerajaan BN terhadap rakyat selama ini khususnya dalam pilihanraya.

Bagi keselamatan diri, beliau menasihatkan mereka yang ingin menyertai himpunan itu agar membawa tuala basah, cuka dan garam untuk digunakan sekiranya diserang dengan gas pemedih mata oleh pihak berkuasa.

Harakah Daily.

Bersih Poster







Now...




Wallpaper For Windows 7





Rehatkan Minda Sekejap!!




Apa itu Demonstrasi?




Syekh Ali Al-Khudri juga berkata :

“Demonstrasi adalah datang secara berkelompok yang terorganisir untuk sebuah tujuan khusus; hukum asalnya adalah boleh. Muslim dengan Muslim lainnya adalah ibarat sebuah bangunan, mereka mendukung satu sama lain, itu adalah sebuah bentuk jihad, untuk menyeru kepada jihad, menyeru kebaikan dan mencegah kemunkaran. Perkumpulan itu adalah sebuah demonstrasi dan itu adalah Sunnah dari Anbiyaa.”

Source : almuhajirun.net

Kempen BERSIH 2 - Pakai baju kuning setiap sabtu




Sempena dengan demonstrasi BERSIH 2 yang akan diadakan kurang 33 hari saja lagi, aku nak cadangkan kita semarakkan dengan KEMPEN PAKAI BAJU KUNING SETIAP SABTU.

Kempen ni pernah dilancarkan lama dulu pada 13 November 2007, dua hari selepas kejayaan perarakan BERSIH yang pertama dulu. Aku yakin kempen macam ni akan bagi lebih semangat untuk orang ramai turut serta dalam demo BERSIH II nanti.

Elok sangat kalau kaki demonstrasi boleh pakai baju kuning, lagi baik kalau pakai baju berlogo BERSIH dan lagi baik kalau boleh pakai baju t-shirt BERSIH yang ada tertulis tuntutan bersih kat belah belakang tu.

Lagi cantik kalau kita boleh pakai baju tu sambil mengelewaq rata tempat-tempat tumpuan orang ramai macam stesyen bas, pasar, pusat membeli belah, pasar malam dan sebagainya.

Aku yakin, kalau hangpa buat macam tu, tentu akan ada yang tersenyum tengok hangpa sambil angkat ibu jari. Aku mula pakai baju kuning BERSIH tu setiap Sabtu dah dekat sebulan, memang sentiasa ada yang senyum tengok aku, sampai ada masa aku heran pasai apa depa senyum, aku terlupa yang aku pakai baju BERSIH.

Lagi cantik kalau Pemuda boleh buat program setiap Sabtu, turun ke tempat tumpuan orang ramai pakai baju BERSIH sambil edar risalah. Kalau ramai yang pakai mungkin tak rasa segan sangat.

Sebagai ingatan, cuma ada 4 kali Sabtu saja lagi sebelum 9 Julai tu. Makanya elok sangat kalau boleh mula Sabtu ni.

Kerajaan BN tiada hasrat beri air percuma



Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air tidak berhasrat untuk mengusulkan kepada kerajaan program pemberian air "1,000 liter pertama percuma" kerana ia menggalakkan pembaziran.

Timbalannya, Noriah Kasnon, berkata caj yang dikenakan kepada rakyat masih berpatutan dan tidak membebankan berdasarkan tarif air sedia ada bagi semua negeri.

"Kementerian mengambil pendekatan ini ke arah mendidik dan menggalakkan penggunaan air secara berhemah demi memastikan kelestarian sumber air untuk diwarisi generasi akan datang," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Marcus ingin tahu cadangan kerajaan untuk mengadakan program pembekalan air secara percuma kepada pengguna dan pendekatan yang diambil untuk menangani isu kadar Air Tidak Terhasil (NRW).

Noriah berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama dengan operator-operator air telah meningkatkan aktiviti-aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi membendung kes kecurian air melalui penyambungan haram yang turut menyumbang kepada peningkatan NRW di sesebuah negeri.

Katanya, SPAN juga telah menetapkan supaya setiap operator air mempunyai program penurunan kadar NRW yang sistematik.

"Program tersebut perlu dilaksanakan mengikut jadual dan Indeks Petunjuk Utama (KPI) yang telah ditetapkan supaya pengurangan kadar NRW di setiap negeri dapat mencapai sasarannya.

"Komitmen kerajaan ini diteruskan lagi dalam "Rolling Plan" 1 Rancangan Malaysia ke-10 dengan peruntukan siling sebanyak RM324.3 juta dan jumlah ini tidak termasuk peruntukan dalaman yang disediakan oleh setiap operator untuk menangani kadar NRW masing-masing," katanya.

Beliau menyeru setiap operator air di negara ini untuk memberikan komitmen yang berterusan kepada program-program pengurangan kadar NRW yang ditetapkan.

- Bernama